Tuesday, December 15, 2009

Tahniah Pasukan Bolasepak Malaysia...

MALAYSIA kembali menjengah medan final selepas lapan tahun menanti apabila persembahan mantap kesebelasan negara melenyapkan tentangan Laos 3-1 pada aksi separuh akhir di Stadium Utama, Kompleks Sukan Laos, malam tadi.

Baddrol Bakhtiar memuncakkan prestasi tepat pada masanya untuk menjaringkan dua gol ketika Safiq Rahim - perencana gerak yang diberi ruang bebas oleh jurulatih, K Rajagobal - menjamin kejayaan dengan gol pada lewat permainan.

Penampilan itu adalah kali pertama sejak temasya 2001 di gelanggang sendiri, serta turut menamatkan penantian 22 tahun untuk merasai nikmat pentas sama di tempat lawan selepas kali terakhir melakukannya pada 1987 di Jakarta.

Kini, ruang balas dendam menjelma dengan Vietnam, barisan yang menundukkan mereka 3-1 di peringkat kumpulan, menanti selaku penghalang terakhir kepada kilauan pingat emas pada Khamis ini. Vietnam menewaskan Singapura 4-1 dalam satu lagi separuh akhir.

Penantian gol negara dinoktahkan pada minit ke-13. Gerak pantas dari sayap kanan menyaksikan Abdul Manaf Mamat melintangkan bola yang cantik disambung dengan sepakan libas Baddrol Bakhtiar yang terus menerjah jaring gol lawan.

Kemenangan sepatutnya sudah dijamin dua minit selepas rehat, tetapi sayangnya rembatan deras Norshahrul hasil usaha Manaf dalam kawasan penalti, sekadar menyinggahi tiang kiri gol sebelum melantun keluar dari zon bahaya.

Safiq Rahim memastikan namanya dalam senarai penjaring dengan gol pada ke-85 yang sama sekali melenyapkan bingit sorakan penyokong lawan - seperti runtuhnya baki tentangan kesebelasan Laos.

No comments:

Post a Comment